e-Whistleblowing
Sila baca dan fahami Prosedur Whistleblowing kami sebelum menghantar pendedahan anda.
Dasar Pendedahan Maklumat (Whistleblowing)
TH telah mewujudkan Dasar Pendedahan Maklumat ("Whistleblowing Policy") salah laku di tempat kerja bagi memudahkan anggota TH atau orang awam melaporkan pelanggaran tatakelakuan dan/atau integriti, secara berstruktur dan dengan jaminan bahawa identiti Pemberi Maklumat dilindungi dan dirahsiakan.
Pendedahan tentang salah laku seperti penipuan, rasuah, penyelewengan kewangan yang serius dan salah guna kuasa yang telah dilakukan oleh seseorang yang dilantik oleh TH boleh dilakukan melalui salah satu saluran-saluran seperti berikut :-
Saluran
Saluran e-Whistleblowing adalah menerusi Borang Dalam Talian e-Whistleblowing atau secara bertulis dan bersemuka dengan hadir ke :
LEMBAGA TABUNG HAJI
Menara TH Tun Razak
201, Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
(u.p. : Pengerusi Lembaga TH atau Pengerusi Lembaga Jawatankuasa Risiko, Audit dan Tadbir Urus TH)
Setelah membuat pendedahan secara jujur, berdasarkan sebab yang munasabah dan mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah Dasar ini:
- Pemberi Maklumat akan dilindungi daripada tindakan balas dalam TH yang berpunca secara langsung daripada pendedahan yang dilakukannya; dan
- Identiti Pemberi Maklumat akan dilindungi, iaitu dirahsiakan melainkan dikehendaki oleh undang-undang atau untuk tujuan apa-apa prosiding yang dimulakan oleh TH atau terhadap TH.
Identiti dan maklumat peribadi Pemberi Maklumat dan orang yang dikatakan pesalah laku itu boleh didedahkan kepada orang yang terlibat dalam siasatan atau apa-apa proses lain atas dasar “perlu tahu”.
Apakah Perkara Yang Hendak Didedahkan
Sesuatu pendedahan (“Pendedahan”) boleh dibuat jika ada kaitan dengan salah satu atau lebih daripada satu salah laku berikut yang dilakukan oleh mana-mana orang semasa menjalankan perniagaan atau urusan TH (“Salah Laku”):
- Rasuah atau penipuan;
- Kesalahan jenayah;
- Penyalahgunaan dana atau aset TH;
- Penyelewengan kewangan atau pelanggaran peraturan kewangan yang serius dalam TH;
- Pelanggaran serius Kaedah-kaedah Am Lembaga Tabung Haji 1983, Surat-surat Pekeliling serta terma syarat lain bagi perkhidmatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa untuk Anggota dan Ahli Lembaga TH;
- Sesuatu tindakan atau pengabaian yang menimbulkan bahaya yang cukup besar dan khusus terhadap nyawa, kesihatan atau keselamatan Anggota TH atau orang ramai atau alam sekitar;
- Kegagalan mematuhi peruntukan Akta Tabung Haji 1995;
- Kegagalan mematuhi peruntukan Akta Parlimen yang lain sekiranya pesalah laku dengan sengaja tidak mengendahkan atau tidak mematuhi peruntukan tersebut; atau
- Dengan sengaja mengarahkan atau menasihati seseorang supaya melakukan mana-mana satu daripada Salah Laku yang tersebut di atas.
Kandungan Pendedahan Maklumat
Maklumat yang hendak dilaporkan perlu mengandungi perkara berikut:
- Nama Pesalah Laku;
- Keterangan tentang insiden yang didakwa berlaku;
- Waktu kejadian;
- Tarikh kejadian;
- Maklumat lain yang berkenaan;
- Bukti sokongan(jika ada) ;
Surat Layang
Secara dasarnya TH tidak akan melayan sebarang pendedahan tanpa identiti Pemberi Maklumat. Walau bagaimanapun, pendedahan tersebut akan dipertimbangkan sekiranya kriteria berikut dipenuhi:
- Pengadu ada menyertakan dokumen yang kukuh bagi membuktikan sabitan pendedahan tersebut;
- Pendedahan tersebut adalah dibuat terhadap kepincangan atau kelemahan terhadap proses yang terlibat dan tidak menyerang mana-mana individu tertentu; atau
- Pendedahan tersebut dibuat kerana ia mempunyai potensi kesan reputasi yang tinggi dan besar kepada organisasi TH.
Perlindungan Pemberi Maklumat
Pemberi Maklumat akan diberi perlindungan di bawah Dasar ini jika pendedahan yang dibuat adalah benar dan jujur. Perlindungan Pemberi Maklumat adalah termaktub di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang menetapkan bahawa identiti Pemberi Maklumat akan dilindungi dan dirahsiakan.
Pemberi Maklumat perlulah mengemukakan identiti seperti di bawah:
- Nama;
- No. Kad Pengenalan; dan
- No. Telefon untuk dihubungi-Pejabat/ Telefon Bimbit/ Rumah
Pemberi Maklumat akan dimaklumkan mengenai hasil pendedahan yang dilakukan.
Perlindungan Pemberi Maklumat terbatal sekiranya:
- Pemberi maklumat mengambil bahagian dalam perlakuan tidak wajar.
- Pemberi maklumat dengan sengaja memberikan kenyataan palsu.
- Pendedahan maklumat dilakukan dengan niat jahat.
- Pendedahan maklumat adalah remeh dan menyusahkan.
Makluman Hasil Pendedahan
Pemberi Maklumat akan diberitahu tentang status kes pendedahannya seberapa yang boleh mengikut keperluan “Perlu Tahu”.
Daripada abu Sa’id al Khudri RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” [Riwayat Muslim (78)]